Khamis, 21 April 2011

HARGA EMAS KEKAL TINGGI..

BERITA HARIAN 21 APRIL 2011




Logam pelaburan paling selamat lepasi paras AS$1,500 seauns HARGA emas buat pertama kali dalam sejarah melepasi paras AS$1,500 (RM4,524) seauns semalam, apabila kelemahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) ditambah pula dengan kebimbangan terhadap kadar inflasi yang tinggi serta krisis hutang yang membelenggu negara Eropah menyebabkan pelabur beralih membeli logam yang dianggap pelindung nilai paling selamat itu.


Harga logam itu mencecah AS$1,502.32 seauns pada satu ketika dalam sesi dagangan di Pasaran Jongkong London semalam sebelum ditutup pada AS$1,499.32 seauns. Harga logam perak turut mencatatkan harga tertingginya dalam tempoh 31 tahun semalam iaitu AS$44.48 seauns.


“Harga emas kekal tinggi, apabila tekanan inflasi jangka pendek dan ketidaktentuan ekonomi telah mencetuskan peralihan kepada pelaburan lebih selamat,” kata Penganalisis Komoditi Kumpulan Kewangan Rusia, VTB Capital, Andrey Kryuchenkov.


Emas dilihat sebagai pelindung nilai paling selamat dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.


Harga emas mula melonjak untuk bergerak ke paras AS$1,500 pada Isnin lalu selepas agensi penarafan antarabangsa, Standard & Poor’s (S&P) menyemak semula tinjauan penarafan hutang kedaulatan AS kepada negatif daripada stabil. Penarafan S&P itu mencabar penarafan ‘AAA’ Washington, apabila ia memberi amaran bahawa ahli politik AS dilihat tidak mampu menyetujui pelan untuk mengurangkan defisit bajet yang besar, iaitu kira-kira 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.


Penurunan penarafan itu juga mengheret turun harga saham dunia pada Isnin, di tengah-tengah meningkatnya kebimbangan terhadap inflasi dengan China, India dan zon euro bergelut untuk membendung kenaikan harga.


Minggu lalu, firma perunding logam, GFMS mengunjurkan harga emas akan melonjak melepasi paras AS$1,600 tahun ini, dipacu terutama oleh kebimbangan ke atas inflasi yang tinggi.


Kryuchenkov berkata: “Emas melonjak selepas S&P menurunkan penarafan tinjauan hutang kedaulatan AS kepada negatif dan ia dibuat ketika adanya kebimbangan mengenai masalah ekonomi susulan kemunculan semula masalah hutang di zon euro.”


Harga emas telah meningkat enam peratus sejak awal tahun ini, memecah beberapa siri rekod tertingginya sepanjang tempoh itu. Harganya melepasi paras AS$1,000 buat kali pertama pada Mac 2008.


“Emas akan terus menjadi tumpuan pelabur selagi kebimbangan terhadap inflasi dan hutang berterusan,” kata Penganalisis kumpulan perdagangan Spread Co, Ian O’Sullivan. – AFP

Emas Hong Kong catat rekod tertinggi..KOSMO 21 April 2011

SEORANG wanita berjalan melintasi sebuah kedai menjual barang kemas di Hong Kong semalam




HONG KONG - Emas di Hong Kong mencatat jualan lebih AS$1,500 (RM4,522) satu auns (28.34 gram) semalam kerana para peniaga mencari pasaran selamat di tengah kebimbangan masalah ekonomi global.
Logam bernilai itu mencatat harga pada AS$1,500 hingga AS$1,501 (RM4,525) setiap satu auns beberapa hari selepas Standard & Poor's menurunkan hutang Amerika Syarikat (AS) dari negatif kepada stabil.
Harga emas di negara itu sebelum ini mencatat harga AS$1,495 (RM4,507) hingga AS$1,496 (RM4,510) satu auns
Para penganalisis menyatakan bahawa kesan kenaikan harga emas itu adalah akibat ketegangan yang sedang berlaku di Asia Barat, Afrika Utara dan zon Eropah serta kebimbangan hutang tinggi AS.
Sementara itu di London, harga emas turut melonjak melebihi AS$1,500 satu auns buat kali pertama semasa dolar AS berada dalam keadaan lemah selain kebimbangan inflasi tinggi dan hutang.
Keadaan itu menyebabkan para pelabur beralih kepada emas yang merupakan satu pelaburan yang selamat.
Harga emas mencecah AS$1,505.65 (RM4,539) satu auns di Pasaran Jongkong London sebelum diniagakan pada harga AS$1,503.60 (RM4,533) satu auns. - Agensi

Rabu, 13 April 2011

Harga Emas FGJAM Dah Naik!!


Alhamdulillah...

Bermula semalam harga emas di kedai2 emas dah naik selaras dengan kenaikan yang di tentukan oleh FGJAM (Federal Of Goldsmith And Jewellery Association). Kebiasaannya, tak lama lagi nilai marhun Ar-Rahnu di Agro Bank pun akan naik juga. Selamat memajak ya!